Selasa, 31 Julai 2012

Terbaik Dari Ladang - Tawau


Isu Aktiviti Kuari Di Hutan Simpan Kelas I Bukit Kukusan Tawau, Sabah


Bukit Kukusan adalah penting dalam tindakbalas geografi persekitaran Tawau kerana ianya antara bukit yang menjadi gugusan tanah tinggi yang menghalang angin yang kuat malah ribut yang membahayakan kawasan Tawau.  Lebih dari itu, Bukit Kukusan turut dihuni haiwan liar seperti monyet dan pelbagai jenis burung.
Apa yang berlaku hari ini, dari pandangan mata kasarku, Bukit Kukusan sudah dikorek sehingga setengah bukit tersebut dan telah menjangkau ke bahagian sebelah bukit tersebut.  Dengan kata lain, bukit itu sudah gondol dan semakin direndahkan dek aktiviti kuari.
Ok, berikut adalah isu yang dibangkitkan SEPA:
  1. Aktiviti kuari dijalankan dalam lingkungan rizab hutan kelas pertama (Forest/Trig Hill Reserve).
  2. Aktiviti kuari menyebabkan terbentuknya tasik toxic.

Kukusan Forest / Trig Hill Reserve 1st Class Forest Reserve – SEPA

Toxic Lake – SEPA
Sementara itu, dari kenyataan Bernama, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun memberi respon seperti berikut:
  1. Akan meminta laporan terperinci mengenai status tanah, yang didakwa sebagai sebuah rizab hutan kelas pertama itu di Sabah.
  2. Laporan tersebut adalah untuk mengenal pasti samada aktiviti kuari syarikat kuari tersebut sah atau tidak mengikut undang-undang.
Yang menariknya, Masidi berkata:
“Kami memerlukan laporan terperinci berhubung status sebenar tanah yang dikatakan itu dan lesen yang dikeluarkan kepada syarikat kuari berkaitan.
“Sudah tentulah kami mahu mendengar pandangan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tentang perkara ini. Namun sementara kami mengumpul semua laporan, apa jua aduan atau kenyataan berkaitan aktiviti kuari dan status tanah adalah andaian semata-mata.
Sama-samalah kita mengikuti perkembangan isu ini.

Uniknya Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012


Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 belangsung dengan jayanya, segala pujian dan kejayaan acara ini wajar dibanggakan warga Tawau. Ianya satu lagi catatan sejarah untuk Tawau dalam penganjuran kali kedua acara itu yang dihadiri lebih 15 ribu warga Tawau.
Tahun ini Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau memberi respon yang memberangsangkan dari semua pihak. Keluhan dan rungutan penganjuran tahun lalu diperbaiki tahun ini terutama penambahbaikan dari segi:
1. Reka bentuk pentas utama.
Rekaannya lebih rendah, tidak payah mendongak untuk menyaksikan persembahan di atas pentas. Tahun lalu pentasnya tinggi dan menyukarkan sesiapa sahaja menyaksikan acara di atas pentas.
2. Khemah VVIP.
Selesa dan bergaya, susunan meja kerusi teratur, sama rendah dengan penonton di luar khemah VVIP. Ianya memperlihatkan penganjur prihatin kehendak rakyat yang mahukan layanan sama rata antara rakyat dan pemimpin mereka. Tahun lalu ianya tinggi, ada jurang pemisah antara pemimpin dan rakyat. Malah penonton yang berada di seberang jalan tidak dapat melihat apa yang berlaku di hadapan pentas utama kerana ditutupi khemah VVIP.
3. Skrin layar besar.
Aku menyaksikan 3 skrin layar besar di tempat strategik yang memaparkan kejadian di hadapan pentas. Skrin layar besar itu diletakkan di kiri dan kanan bangunan MPT dan satu lagi di tapak pameran makanan dan tradisi di berdekatan Sabindo Plaza. Berbanding tahun lalu hanya dua skrin layar yang kedudukannya rendah dan tidak jelas.
4. Tempat duduk untuk sebilangan penonton.
Di kiri kanan khemah VVIP diletakkan kerusi untuk penonton terutamanya untuk warga tua yang tidak lagi mampu berdiri lama menyaksikan acara malam itu
5. Protokol majlis berjalan lancar.
Dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Hj. Juhar bin Hj. Mahiruddin dalam Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012, protokol menjadi keutamaan petugas.  Ini ditambah lagi dengan kehadiran menteri kabinet pusat dan negeri menjadikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 sempurna pengaturcaraannya.
Fakta unik Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012:
1. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 adalah acara kali kedua dianjurkan dan mendapat sambutan penonton dari seluruh pelusuk daerah Tawau.
2. Tahun lalu, Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau dikenali Festival Kebudayaan Tawau BIMP-EAGA. NamaFestival Kebudayaan Antarabangsa Tawau tidak akan diubah lagi untuk penganjuran tahun berikutnya.
3. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau disertai semua etnik di Tawau yang melambangkan Tawau memiliki pelbagai etnik berbanding daerah lain di negara ini.
4. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 mengetengahkan pameran makanan tradisi dan adat istiadat perkahwinan selama tiga hari. Tahun lalu festival ini mengetengahkan permainan tradisi etnik di Tawau.
5. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 mendapat kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
6. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 mendapat liputan luas media massa, media elektronik dan media baru online.
7. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 turut disertai ramai jurugambar yang menyertai Pertandingan Gambar Tercantik sepanjang Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 berlangsung. Ianya dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Tawau (PEWARTA) dengan ganjaran tempat pertama berjumlah RM1,000.
8. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 disertai pasukan kebudayaan dari luar negara Indonesia, Brunei dan Syria.
9. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang mewakilkan Timbalannya, Datuk Seri Yahya Hussin.
10. Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 menggabungkan artis tempatan dan dari luar untuk mengakhiri kemeriahan acara itu.  Artis tersebut ialah Mas AF2, Adira, Arsheed (DefGabC), Janrywine J Lusin, Fauziah Gambus, Adam & dance.
Berita Bernama 2012/02/12:
Musa mahu PBT ketengahkan keunikan budaya, sejarah ke peringkat antarabangsa
TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti, mengembleng dan mengetengahkan potensi dan keunikan yang terdapat di daerah masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa.
“Ini termsuklah aspek berkaitan sejarah sesuatu tempat, keunikan etnik dan suku kaum, kepelbagaian budaya, potensi pelancongan dan apa jua usaha dan program yang dapat menjana ekonomi, mengukuhkan kerjasama dan perpaduan rakyat,” katanya.
Kerajaan negeri akan terus memberi komitmen dan sokongan terhadap usaha itu, katanya dalam ucapan pada perasmian Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2012 di sini, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.
Festival yang memaparkan pelbagai kebudayaan 26 etnik yang terdapat di Tawau termasuk makanan, tarian, pakaian tradisi dan adat perkahwinan masing-masing yang dihadiri ribuan pengunjung dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. – BERNAMA